RAMAI kalangan yang menulis dan bercakap berkenaan kedaulatan undang-undang (Rule of Law), khusus dalam kalangan umat Islam yang mengucap dua kalimah syahadah. Namun mereka telah melupakan peranan akidah tauhid dalam pelaksanaan undang-undang dan kedaulatannya.
Sepatutnya wajib diletakkannya dalam Tauhid ‘Uluhiyyah dan Rububiyyah yang dihayati secara tersirat dalam 20 sifat yang wajib bagi Allah, bukan hanya dibaca secara tersurat sehingga tenggelam dalam perbahasan khilafiyyah di antara Salafi yang paling taasub (Wahabi) dan Khalafi yang sebahagian juga bertaasub (‘Asya’irah dan Maturidiyyah), tanpa membaca sejarah gerakan Islah dan Tajdid yang memahami pelaksanaan Islam sepanjang zaman yang berubah, tanpa meninggalkan prinsip akidah dan syariat yang tidak berubah. Generasi awal bersatu dalam perkara dasar dan tidak berkelahi dalam perkara cabang yang berbeza.
Sikap melupakan kehebatan syariat Islam yang maha adil daripada sifat Ilmu dan Kalam Allah telah menyebabkan ramai diperbodohkan menerusi peristiwa pembunuhan kejam terhadap wartawan Almarhum As-Syahid Jamal Khashoggi, oleh kalangan yang kononnya mendukung Mazhab Salafi (Wahabi) sehingga taasub membuta tuli dan menjadi pengikut Salafi paling ulung yang bertukar menjadi buta dan tuli, sehingga mencemarkan imej Islam yang datang daripada Allah Yang Maha Adil.
Rasulullah S.A.W. menjadi teladan terbaik, ditegaskan benarnya melalui perisytiharan Allah S.W.T.:
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا (21)
“Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang terbaik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta ia pula berzikir (menyebut dan mengingati) Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. (Surah Al-Ahzaab: 21)
Rasulullah S.A.W. meletakkan dirinya berada di bawah kedaulatan undang-undang, disebut dalam peristiwa yang bersanad sahih lagi mutawatir (jumlah yang ramai dari kalangan yang berilmu, bersifat adil dan kuat ingatannya), bukannya seperti kisah Hang Tuah dan Hang Jebat yang tidak bersanad langsung, yang dikatakan taat setia melulu dan beraninya melulu tanpa akal. Jangan sesekali mengambil contoh Barat yang Kafir yang sebaik-baiknya tetap ke neraka juga, kerana budimannya tidak beriman khususnya kepada Allah dan Hari Akhirat.
Sebelum wafat Rasulullah S.A.W. menyampaikan sabdanya (bermaksud):
“Sesungguhnya binasalah umat pada zaman dahulu kerana hanya menghukum orang yang lemah, membebaskan orang yang kuat. Demi Allah sekiranya puteri kesayanganku Fatimah binti Muhammad itu mencuri, nescaya aku hukum potong tangannya”. (Muttafaqun ‘Alaih)
Seterusnya di saat Baginda S.A.W. dipapah datang ke masjid beberapa hari sebelum wafatnya dan menyampaikan ucapan:
“Sekiranya ada dari kalangan kamu, yang aku zalimi maruahnya sila nyatakan. Ini maruahku sila balas, sekiranya ada hartanya yang aku zalimi sila nyatakan, kerana aku mahu menggantinya …”.
Perkara ini dicontohi oleh para Khulafa’ Ar-Rasyidin dan raja-raja Islam yang adil selepasnya dan dilaksanakan berkonsepkan mengabdikan diri kepada Allah, dengan bijak tanpa menyentuh ketenteraman rakyat yang diutamakan, bukannya bodoh tanpa peduli keutamaan ketenteraman rakyat.
Pelaksanaannya mengikut proses kehakiman yang adil dan beriman, menepati prinsip Siyasah Syariah dan Maqasid Syariah yang sebenarnya, bukan sekadar ucapan sahaja laksana burung kakak tua yang bercakap tanpa akal yang matang dan ilmu yang mendalam.
Pelaksanaan Islam sangat ditakuti oleh musuhnya. Kalau yang memimpin itu Islam, kerana adilnya akan menjadi dakwah amali yang menarik manusia kepada Islam sehingga berduyun-duyun.
Islam menerokai jalan sutera dan mengharungi lautan sehingga ke Nusantara. Semua bumi yang dipijak oleh para pemimpin bersama Islam yang memerintah, diterima rakyat kerana keadilan, akhlak yang mulia dan kebijaksanaannya menaungi rakyat, bukan menjajah dan memaksa rakyat.
Cahaya Islam tidak boleh dipadamkan sehingga kini. Walaupun kuasa politiknya dijatuhkan, namun kesannya masih ditanam ke dalam hati sanubari sejahil-jahil umat Islam.
Lihatlah betapa minoriti bukan Islam hidup aman damai di tengah masyarakat majoriti besar umat Islam seperti di Malaysia dan lain-lain, diterima menjadi rakyat walaupun berbeza agama, bangsa dan warna kulitnya. Bandingkan nasib minoriti umat Islam di tengah masyarakat bukan Islam di mana sahaja, walaupun satu bangsa dan satu bahasanya.
Sehingga kini Islam sudah ada model dalam sejarahnya, namun dihalang bangkit kembali semula di mana sahaja. Semua ideologi dan teori lain belum nyata modelnya yang berpijak di bumi nyata, kerana tetap menemui kegagalan dalam mendapatkan kuasa yang kuat.
Kami tidak berhajat kepada pengajaran sejarah lain yang jauh daripada petunjuk Allah bernama Islam ini, sama ada sebelum Masihi atau selepas Masihi, termasuk negara yang dikatakan bertamadun yang dilihat bangunannya sahaja tanpa melihat berapa ramai rakyat dikorbankan di bawah bangunan istana dan kota yang didirikan. Begitu juga tokoh sejarah yang separuh matang dan mentah di jalanan yang melaporkan para pemimpin dan segala tokohnya yang dipuja seperti Tuhan, walaupun ditutup kezaliman, namun terbocor juga bersama lambang kezalimannya.
Kami mempunyai sejarah para anbia’ dan aulia’ yang dilaporkan oleh Al-Quran yang kami yakin akan kebenarannya. Laporan berdasarkan ilmu dan akal yang bijaksana serta berpandukan hidayah yang dinyatakan secara ilmu yang benar, adil dan bijak.
Namun sejarah ini dihapuskan segala monumen kota, istana dan bangunannya. Maka tiada peninggalan monumen sedikit pun di atas muka bumi dan dunia yang diperintahnya. Tiada istana Kota Nabi Daud A.S, Nabi Sulaiman A.S dan Raja Zulkarnain yang menakluk dunia.
Apa yang ada adalah monumen kerajaan yang zalim, matinya tanpa bertaubat. Ditinggalkan monumennya untuk dilihat oleh para pelancong, seperti Taman Bergantung Raja Namrud yang menegakkan Kerajaan Babylon, Piramid Firaun, kota-kota dan stadium peninggalan Rom Greek, Tembok Besar China, patung-patung di India dan seumpamanya.
Firman Allah :
تِلْكَ أُمَّةٌ قَدْ خَلَتْ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَلَكُم مَّا كَسَبْتُمْ وَلَا تُسْأَلُونَ عَمَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ (134)
“Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang mereka telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; Dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka lakukan”. (Surah Al-Baqarah: 134)
Elemen-elemen salah laku yang diulangi sebutannya hanya untuk menjadi alasan, seperti mengadu kesakitan yang berulang kali tanpa mencari ubat yang mujarab (berjaya dicuba).
Sepatutnya bukan sekadar membalas dendam sahaja, tetapi ditegakkan prinsip dan konsep 'Rule of Law' dahulu dengan peristiwa baru yang menjadi elemen diperkenalkan konsep kedaulatan undang-undang supaya meneladani tindakan Rasulullah S.A.W. yang tidak menjatuhkan hukuman terhadap mereka yang bertaubat pada masa Fathu Makkah. Walaupun jenayahnya membunuh bapa saudara kesayangannya, Hamzah bin Abdul Muttalib dan berpuluh lagi daripada keluarganya yang berjuang Islam serta para sahabat kesayangannya R.A. yang lebih ramai dan lebih dahsyat daripada peristiwa Memali dan lain-lain.
Masih kecil untuk dibandingkan apa yang dialami oleh para pemimpin dan ahli-ahli PAS yang terdahulu, yang beristiqamah dan sangat setia kepada perjuangan sehingga akhir hayat, mati dalam keadaan tidak meninggalkan perjuangan atau melompat ke arah pokok yang kelihatan lebat buahnya. Bukan juga yang lari menjadi semut yang diam di dalam gula atau tikus yang kelu bersembunyi dalam timbunan padi dan beras, yang bersuara sekali sekala dalam kekenyangan, bukannya perjuangan.
Kemenangan Islam berbeza dengan kemenangan Revolusi Perancis yang menjadi kebanggaan golongan Liberal dan berbeza dengan kemenangan Revolusi Komunis Soviet dan China yang menjadi kemenangan golongan Sosialis.
Kemenangan Islam itu menegaskan akan janji benar daripada Allah kepada Rasul-Nya dan janji Rasul kepada umatnya. Janji benar yang menjadi sifat wajib bagi Rasulullah S.A.W. yang ditegaskan oleh firman Allah yang benar-benar berlaku:
وَلَقَدْ سَبَقَتْ كَلِمَتُنَا لِعِبَادِنَا الْمُرْسَلِينَ (171) إِنَّهُمْ لَهُمُ الْمَنصُورُونَ (172) وَإِنَّ جُندَنَا لَهُمُ الْغَالِبُونَ (173)
“Dan demi sesungguhnya telah ada semenjak dahulu lagi, ketetapan kami, bagi hamba-hamba Kami yang diutus menjadi Rasul. (171); Bahawa sesungguhnya merekalah orang-orang yang diberikan pertolongan mencapai kemenangan. (172); Dan bahawasanya tentera Kami (pengikut-pengikut Rasul), merekalah orang-orang yang mengalahkan (golongan yang menentang kebenaran”. (173) (Surah As-Shoffaat: 171-173)
Firman Allah:
لَّقَدْ صَدَقَ اللَّهُ رَسُولَهُ الرُّؤْيَا بِالْحَقِّ لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِن شَاءَ اللَّهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ فَعَلِمَ مَا لَمْ تَعْلَمُوا فَجَعَلَ مِن دُونِ ذَٰلِكَ فَتْحًا قَرِيبًا (27) هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا (28)
“Demi sesungguhnya Allah tetap menyatakan benar Rasul-Nya dalam perkara mimpi itu dengan kenyataan yang sebenar; Iaitu sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haram Insya-Allah (pada masa yang ditentukan-Nya) dalam keadaan aman (menyempurnakan ibadat umrah kamu) dengan mencukur kepala kamu; dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar semula dari situ). (Allah menangguhkan berlakunya kenyataan itu) kerana ia mengetahui (adanya feadah dalam penangguhan itu) yang kamu tidak mengetahuinya; maka Dia menyediakan sebelum (terlaksananya mimpi) itu, satu kemenangan yang dekat (masa berlakunya). (27); (Allah yang menyatakan itu) Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad S.A.W.) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala bawaan agama yang lain; Dan cukuplah Allah menjadi saksi (tentang kebenaran apa yang dibawa oleh Rasul-Nya itu)”. (28) (Surah Al-Fath: 27-28)
Al-Quran adalah petunjuk mukjizat yang diimani oleh penganut Islam yang beriman dan budiman di sepanjang zaman. Maka yang layak mewarisinya, hanya parti yang menganut dan memperkasakan bangsanya bersama Islam. Bukan untuk parti yang tidak berbangsa atau tidak berjiwa bangsa serta tidak berakidah dan berakhlak Islam. Termasuk mereka yang tidak berwala’ kepada Allah dan Rasul, serta orang-orang yang beriman bagi mengejar kemenangan. Maka Allah mengarahkan Rasulullah S.A.W. supaya mengajak bangsanya bersama Islam dahulu menjadi akidah perjuangan, bukannya mencari rakan yang tidak beriman dan budiman.
Firman Allah:
وَاخْفِضْ جَنَاحَكَ لِمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ (215) فَإِنْ عَصَوْكَ فَقُلْ إِنِّي بَرِيءٌ مِّمَّا تَعْمَلُونَ (216) وَتَوَكَّلْ عَلَى الْعَزِيزِ الرَّحِيمِ (217)
“Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat. (214); Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman. (215); Kemudian jika mereka berlaku ingkar kepada-Mu, maka katakanlah: "Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu lakukan". (216); Dan berserahlah kepada Allah Yang Maha Kuasa, Lagi Maha Mengasihani. (217). (Surah As-Syua’ra’: 215-217)
Kalau yang memimpin itu Islam, jika zalimnya sekurang-kurangnya menjadi gembala lembu. Tetapi kalau yang memimpin itu bukan Islam walaupun paling baiknya, boleh menjadi pekerja apa sahaja tanpa batas halal dan haramnya yang berakhir dengan neraka juga.
Maka 'Rule of Law' berpandukan petunjuk Allah sahaja yang menjadi penyelamat negara dan semua bangsa, berslogankan Islam itu adil untuk semua kerana datangnya daripada Allah Pencipta Alam Semesta, di samping kesempurnaan sifatnya dan sistem kehakimannya yang berpaksikan akidah yang menjadi rohnya yang tidak selengkap undang-undang ciptaan manusia.
Firman Allah:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا (58)
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil (dengan hukum Allah). Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat”. (Surah An-Nisa’: 58)
“Islam Memimpin”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 2 Jamadil Awal 1440 / 8 Januari 2019 - HARAKAHDAILY 8/1/2019
Tazkirah
koleksi Tazkirah
Apabila Firaun mengkafirkan Nabi Musa
KISAH-kisah sejarah di dalam al-Quran kekal segar untuk dirujuk, kerana ia menceritakan tabiat manusia dengan pelbagai wajah. Kitaran sikap dan perangai watak-watak di dalam al-Quran akan turut kekal seperti kekalnya kitab suci tersebut.Nabi Musa vs FiraunAllah menceritakan betapa gigih dan tegasnya Nabi Musa A.S memperingatkan kepada Firaun berkenaan batasan iman dan kufur. Nabi Musa menawarkan khidmat tunjuk ajar kepada Firaun agar dia kembali insaf:فَقُلْ هَل لَّكَ إِلَىٰ أَن تَزَكَّىٰ • وَأَهْدِيَكَ إِلَىٰ رَبِّكَ فَتَخْشَىٰ"Maka katakanlah kepada Firaun: "Adakah kamu ingin menyucikan dirimu dari kesesatan? • Dan mahukah aku tunjukkan kepadamu jalan Tuhanmu agar engkau takut kepadanya?"(al-Nazi'at: 18-19)Firaun mula berkasarSetelah nasihat demi nasihat secara lembut telah diberikan oleh Nabi Musa, namun Firaun tetap berdegil. Bahkan Firaun mula menuduh kononnya Nabi sedang tersampuk kesesatan:إِنِّي لَأَظُنُّكَ يَا مُوسَىٰ مَسْحُورًا"Sesungguhnya aku merasakan kamu wahai Musa telah tersampuk sihir"(al-Isra': 101)Lalu Nabi Musa membalas:وَإِنِّي لَأَظُنُّكَ يَا فِرْعَوْنُ مَثْبُورًا"Dan sesungguhnya aku pula merasakan kamulah yang akan hancur binasa"(al-Isra': 102)Firaun menuduh Nabi Musa kafirDengan keterangan-keterangan yang telah dikemukakan oleh Nabi Musa, Firaun tetap buat-buat tidak faham. Bahkan Firaun bersikap loyar buruk dengan mengembalikan segala peringatan wahyu untuk mendakwa Nabi Musa. Firaun menyelar Nabi Musa:وَفَعَلْتَ فَعْلَتَكَ الَّتِي فَعَلْتَ وَأَنتَ مِنَ الْكَافِرِينَ"Dan engkau (Musa) telah melakukan kesalahan dari perbuatan engkau. Dan engkaulah di kalangan orang-orang yang kafir"(al-Syu'ara': 19)Tidak faham bahasaJika kita melihat sikap Firaun, dia cukup degil menerima ajaran Islam yang telah dijelaskan berulang kali oleh Nabi Musa.Syeikh Dr. Solah Abdul Fattah al-Khalidi menjelaskan:"Firaun enggan berinteraksi dengan topik yang dikemukakan oleh Nabi Musa dengan sewajarnya. Dia tidak mahu berfikir secara serius. Sebaliknya Firaun mengolah nasihat Nabi Musa sebagai serangan peribadi antara dirinya. Lebih malang lagi, Firaun hanya mahu memahami topik yang diutarakan oleh Nabi Musa berdasarkan kefahaman dangkalnya sahaja. Bukan berdasarkan keterangan Nabi Musa. Ini semua bertitik tolak dari sikap ego yang dijulang oleh Firaun."DangkalBayangkanlah betapa dangkalnya Firaun, apabila Nabi Musa menyampaikan peringatan berkenaan batasan iman dan kufur, tiba-tiba Firaun menuduh Nabi Musa pula yang kafir.Yang pasti, Firaun telah mati. Namun Firaunisme masih hidup.ABDUL MU'IZZ MUHAMMADKetua Urusan UlamakPAS Kawasan Klang3 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 4/1/2018
Fahami konsep nasihat
APABILAsaya menegaskan bahawa PAS mengambil pendekatan menjadi pembangkang yang menasihati kerajaan, ramai kalangan yang terlalu bersemangat, sehingga mahu menjadi pembangkang semata-mata, atau terpengaruh dengan musuh Islam yang mencipta provokasi. Maka, yang lemah imannya menjadi tidak Istiqamah. Di sini saya kemukakan huraian Al-Quran dan Sunnah yang menjadi perkara dasar yang tertinggi dalam Undang-Undang Tubuh PAS.
PAS menetapkan supaya setiap majlisnya, usrah, perjumpaan besar dan kecil ditutup dengan bacaan Surah Al-Asr, di dalamnya ayat yang menegaskan betapa konsep nasihat sangat penting kepada Jamaah Islam dan ummatnya dengan makna yang luas bagi diri dan terhadap semua pihak temasuk musuh yang paling zalim. Ini kerana mesejnya kepada seluruh manusia, firman Allah:
وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
"Dan berpesan-pesan (Nasihat menasihati) dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran." [Surah Al-Asr: ayat 03]
Ayat ini menegaskan gabungan konsep nasihat dan sifat sabar.
Hadis Rasulullah SAW pula menegaskan:
الدِّينُ النَّصِيحةُ قلنا : لِمَنْ ؟ قَالَ : لِلهِ وَلِرَسُولِهِ وَلأئِمَّةِ المُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ
“Agama itu nasihat.
Kami (Para sahabat) bertanya: Untuk siapa?
Sabdanya: Kepunyaan Allah, Rasulnya, para pemimpin kaum muslimin dan seluruh mereka.” [Riwayat Muslim]
Hadis ini menegaskan nasihat dengan rukun Iman yang asasi dan hubungannya secara bermasyarakat madani yang menjadikan manusia bersaudara. Perkataan nasihat adalah salah satu daripada perkataan bahasa Al-Quran (mukjizat ilmu) yang sangat luas makna dan mafhumnya, sehingga merangkumi segala kata dan pendekatan untuk mengajak kepada kebaikan dan kebajikan, termasuk meninggalkan segala kemungkaran atau kejahatan dalam segala aspek. Jangan peduli kepada yang buta Al-Quran.
Allah juga mengesah dan menafsirkan dalam Al-Quran bahawa konsep nasihat dilakukan oleh semua Para Rasul AS terhadap manusia di zamannya, termasuk terhadap penentangnya yang paling zalim. Nabi Nuh AS menegaskan kepada kaumnya:
وَأنْصَحُ لَكُمْ
"Dan aku memberi nasihat kepada kamu." [Surah Al-A'raf : ayat 62]
Nabi Hud AS menegaskan kepada Kaum Aad:
وَأنَا لَكُمْ نَاصِحٌ أمِينٌ
"Dan aku juga adalah penasihat yang amanah kepada kamu." [Surah Al-A'raf: ayat 68]
Apabila seorang hamba Allah datang menasihati Khalifah Abbasiyyah Al-Makmun kerana ketelanjurannya, tiba-tiba menggunakan kata-kata yang kesat, kasar dan keras. Maka Al-Makmun menjawab ; "Sesungguhnya orang yang lebih baik daripadamu, diperintah Allah supaya menasihati orang yang lebih jahat daripadaku, dengan bahasa yang baik". Allah menegaskan kepada Nabi Musa AS dan Harun AS yang lebih baik daripadamu, ditugaskan menghadapi Fir’aun yang lebih zalim daripadaku supaya mengunakan bahasa yang lebih baik. Allah berfirman:
اذْهَبَا إِلَى فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَى * فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى*
"Wahai Musa dan Harun !, pergilah kamu berdua kepada Fir’aun. Sesungguhnya Dia toghut (terlalu melampau). Katakanlah kepadanya dengan ucapan yang lembut, mudah-mudahan dia menerima pengajaran atau merasa takut (kepada Allah)." [Surah Toha: ayat 43-44]
Hikmatnya ialah kerana Islam adalah rahmat Allah yang menyelamatkan manusia dengan memberi petunjuk ke jalan yang benar, adil dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Mesej para Rasul AS yang membawa Islam adalah menyelamatkan manusia bukannya menghalau atau mencari musuh seramai-ramainya. Allah menegaskan kepada Rasulullah SAW supaya menjadi contoh kepada umatnya sehingga hari kiamat:
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ * وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ * وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ * وَإِمَّا يَنْزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ *
"Siapakah yang lebih baik ucapannya daripada orang yang berdakwah kepada petunjuk Allah (Islam) serta dia mengerjakan amal soleh dan menegaskan ; Bahawa saya termasuk dikalangan orang-orang Islam. Tidak sama kebaikan dibandingkan dengan kejahatan. Maka balaskan yang terbaik terhadap orang yang berlaku jahat terhadapmu. Maka tiba-tiba orang yang bermusuh antaramu dan dia bertukar menjadi teman yang saling mengasihi. Dan tidaklah dapat menerimanya melainkan oleh orang-orang yang sabar dan tidaklah boleh menerimanya malainkan oleh orang-orang yang berhak mendapat ganjaran yang besar (daripada Allah). Dan apabila syaitan cuba memesongkan kamu dengan sesuatu caranya, maka mintalah perlindungan Allah. Sesungguhnya Dialah Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat." [Surah Fussilat: ayat 33-36]
Apabila Rasulullah SAW menyerahkan bendera perang Khaibar kepada menantunya Ali bin Abi Talib, yang terlalu tinggi semangatnya untuk memerangi kaum Yahudi pengkhianat perjanjian, ditegaskan dengan sabdanya:
انفذ على رسلك حتى تنزل بساحتهم، ثم ادعهم إلى الإسلام، وأخبرهم بما يجب عليهم من حق الله تعالى فيه، فوالله لأن يهدي الله بك رجلاً واحداً خيرٌ لك من حمر النعم
"Laksanakan tugas sehingga apabila kamu tiba dilapangan mereka, kemudian ajak mereka kepada Islam dan beritahu kepada mereka apa-apa yang wajib keatas mereka terhadap Allah. Maka Demi Allah! Kejayaanmu menjadikan seseorang mendapat petunjuk Allah lebih baik daripada kenderaan yang paling mahal harganya." [Muttafaqun Alaih]
Apabila berjaya membebaskan Mekah daripada jahiliyah maka jumlah yang dimaaf berlipat kali ganda daripada yang dihukum. Kita jangan berlagak lebih kuat Islam dan taqwa sehingga merasa lebih daripada Rasulullah SAW.
PAS memilih pendekatan semokrasi barat kerana perubahannya daripada demokrasi purba kepada demokrasi moden hasil kajian para orentalis mereka daripada penulisan para ulama Islam. Ini menunjukkan pengaruh Islam memilih pendekatan damai (muwajahah silmiyyah) dalam perubahan politik barat, dan Islam lebih berhak daripada mereka.
Maka ahli politik PAS yang menjadi pembangkang wajib mengambil contoh daripada Al-Quran dan Sunnah, bukannya pembangkang daripada England, Amerika Syarikat, Amerika Latin, Taiwan, Korea, Jepun dan sebagainya.
Mesej kita bukan merampas kuasa semata-mata kerana singgahsana, kerusi dan pangkatnya, tetapi menjadi penyelamat. Permulaannya menasihati pihak yang berkuasa supaya meninggalkan kemungkaran kepada yang baik, atau akhirnya kalau mereka tidak berubah caranya mengambil alih kuasa menjadi penyelamat tanpa dendam kesumat.
Nasihat juga kena pada tempat dan keadaan. Allah juga berfirman:
وَلا تُجَادِلُوا أَهْلَ الْكِتَابِ إِلا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِلا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ
"Dan jangan kamu berdebat dengan ahli kitab malainkan dengan cara yang terbaik, malainkan terhadap orang-orang zalim di kalangan mereka." [Surah Al-Ankabut: ayat 46]
Walaupun terhadap yang zalim sabda Rasulullah SAW:
انصر أخاك ظالما أو مظلوما
"Tolonglah saudaramu yang zalim dan dizalimi."
قالوا يا رسول الله هذا ننصره مظلوما فكيف ننصره ظالما ؟
"Mereka bertanya: Wahai Rasulullah! yang ini kami menolongnya kerana dizalimi, maka bagaimana pula menolong orang yang zalim."
Sabdanya:
تأخذ فوق يديه
"Kamu pegang tangannya (mencegahnya daripada berlaku zalim)."
Kita berdepan penganut Islam yang tenggelam dalam pengaruh penjajahan pemikiran, namun dalam hati mereka masih wujud kemanisan Iman dan kalangan bukan Islam pula sudah berilmu dan mencari kebenaran.
Rasulullah SAW mengajar kebijaksanaannya bukan marah dan semangat tanpa kawalan yang istiqamah mengikut pasang dan surut. Sabda Rasulullah SAW lagi:
ليس الشديد بالصرعة، إنما الشديد الذي يملك نفسه عند الغضب
"Bukanlah orang yang gagah perkasa itu dengan bertindak keras melulu. Sesungguhnya orang yang sebenarnya gagah perkasa itu ialah yang dapat mengawal diri ketika marah." [Muttafaqun Alaih]
Di atas konsep ini, Rasulullah SAW berhijrah setelah diwujudkan masyarakat Madinah yang menerima Islam dengan bai’ah ikatan perjuangan yang tidak ditukar dengan isteri, kawan, harta, pangkat serta menggabungkan Tahaluf (Persefahaman kerjasama dalam perkara yag baik), Ta’awun dan lain-lain, bersama kalangan bukan Islam yang berdamai tetapi menerima kedaulatan Islam.
Di atas konsep ini juga apabila Raja Masqat dan Oman, Raja Habasyah dan Bahrain yang menerima Islam dikekalkan memimpin kerajaan masing-masing, tanpa dirampas kuasa dan takhta mereka.
Di atas prinsip dan konsep Islam yang teguh juga para generasi awal bersedia menghadapi kuasa besar dunia Parsi, Rom dan lain-lain yang paling keras mengikut keadaan, tanpa menyerah kalah sehingga mati atau menang. Akhirnya kuasa paling besar, paling zalim dan keras jatuh dan tumbang. Berkonsepkan meruntuh jahiliyah dan menegakkan Islam, bukannya menggantikan jahiliyah dengan jahiliyah.
Maka perjuangan Islam tidak boleh dilaksanakan oleh mereka yang keras semata-mata dan selama-lamanya. Perjuangan Islam juga tidak layak dilaksanakan oleh kalangan yang malu meyebut Islamnya, lebih-lebih lagi yang pengecut menyebut Islamnya. Perjuangan Islam juga tidak layak kepada mereka yang menyerah kalah menghadapi kekerasan, atau menentang kekerasan dengan kekerasan tanpa sempadan, atau terpukau dengan habuan jawatan dan harta sebelum menang dan selepas kemenangan, atau bermimpi dengan seronok bersama kabinet bayangan.
Dalilnya apabila Rasulullah SAW tegas menolak semua tawaran, kemudahan dan kesenangan takhta, harta dan wanita yang menggadaikan prinsip. Konsep asas dan matlamat perjuangan Islam yang tidak disembunyikan, walaupun terpaksa menghadapi cabaran yang datang daripada segenap penjuru dan terpaksa mengharungi perjalanan yang jauh tanpa dilihat penghujungnya dengan mata kasar.
Rasulullah SAW tidak berbaiah dengan para pemimpin Bani Amir yang meminta jawatan sebelum menang. Hanya berbaiah dengan kalangan Ansar yang beriman dan budiman bersama perjuangan dengan ikhlas meletakkan wawasan Akhirat. Namun melihat dengan cahaya iman kepada kebenaran daripada Allah dan janji Allah di dunia yang dekat dan akhirat yang belum dilihat. Menempah pahala menyelamatkan manusia seramai-ramainya. Bukannya merosak dan membunuh seramai ramainya.
Allah SWT mengingatkan akan kita semua dengan Firman-Nya di dalam Al-Quran:
فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ * وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ
"Beristiqamah sebagaimana engkau diperintah (Wahai Muhammad SAW) bersama sesiapa yang bertaubat bersamamu, dan kamu jangan melampau, sesungguhnya Allah Maha Melihat apa-apa yang kamu amalkan. Dan jangan cenderung kepada orang-orang yang zalim nanti kamu disambar api neraka, dan tiada wali (yang wajib diberi kesetiaan) bagi kamu selain Allah, nanti kamu tidak diberi pertolongan." [Surah Hud: ayat 113]
Dan Firman Allah kepada Rasul-Nya yang menjadi ikutan kita:
خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ * وَإِمَّا يَنزغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نزغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
"Ambillah sikap bermaafan dan suruh kepada yang baik. Jangan peduli terhadap orang-orang yang jahil. Jika kamu dirasuk syaitan oleh apa-apa cara rasakannya, mintalah perlindungan Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." [Surah Al-A'raf: ayat 199-200]
Sebenarnya kini, kita tenggelam dengan bencana zaman orang-orang jahil menulis dan bercakap tanpa ilmu di bawah langit tanpa sempadan. Perjuangan kita bukan akal tanpa sempadan dan hidayah, kita mengikut sempadan Allah menghadapi peganut Islam yang paling baik, sederhana dan menzalimi diri sendiri, menghadapi golongan munafik, kafir yang berdamai dan bermusuh, namun semuanya adalah hamba Allah dan ummat Dakwah Muhammad SAW.
"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
13 Rabiul Awwal 1437 / 25 Disember 2015 -HARAKAHDAILY 25/12/2015
Membina agama dalam diri
Agama adalah paling bernilai dalam kehidupan ini. Ia paling diperlukan terutama ketika ia dilihat paling tidak diperlukan. Ketika manusia dalam kemabukan dunia yang melekakan, hanya agamalah yang mampu menariknya keluar dan menyelamatkannya daripada terjunam ke lembah kecelakaan yang dalam.
Agama adalah nilai diri yang sebenar. Ia mendahului akhlak, apatah harta dan pangkat. Pada pandangan pertama, manusia dilihat dan dinilai pada kedudukan lahiriyahnya seperti kekayaannya dan kedudukannya. Tetapi lama kelamaan mereka dibenci kerana akhlaknya buruk. Masyarakat perlukan hartawan yang dermawan dan budiman.
Tetapi akhlak yang baik akan buntu di hujung tanpa sampai ke puncak yang diimpikan manusia. Akhlak menghubungkan sesama manusia untuk berkongsi kehidupan dengan sejahtera. Tetapi manusia yang saling memerlukan itu akan mendapati diri mereka juga saling tidak mampu memberikan semuanya.
Pertama, ke mana hujung akhlak ini? Adakah ia berakhir dengan kematian dan kemudiannya, kehidupan ini diwarisi oleh generasi lain? Kedua, bagaimana berhadapan dengan kumpulan manusia tanpa akhlak? Kita membina tetapi mereka pula datang menghancurkan apa yang kita bina. Persoalan yang akan timbul ialah mengapa akhlak yang baik selalu berhadapan dengan pembalasan yang buruk? Mana keadilan? Bukankah baik dibalas baik dan buruk dibalas buruk?
Kegagalan mendapat jawaban untuk persoalan pertama dan kedua akan merosakkan kebahagiaan dalam diri. Manusia mahukan jawaban yang jelas, kukuh dan membahagiakan dirinya. Tetapi sebagaimana harta dan kedudukan gagal memberi jawaban, begitulah akhlak yang mulia juga, walaupun bernilai tinggi, ia tetap gagal memberi jawaban.
Di situlah nilai agama. Ia adalah jawaban kepada kehidupan ini. Untuk soalan pertama, ugama berkata, hujung akhlak yang baik adalah balasan yang baik menanti daripada Allah. Allah mahu melihat hati manusia yang hebat sebagaimana diciptakanNya. Dia mahukan manusia membangun kehidupan dengan akhlak mulia yang lahir dari hatinya yang hebat.
Untuk jawaban kedua, agama menjawab, tiada sebarang kerugian pada kehancuran binaan yang baik akibat kejahatan akhlak manusia. Buruk akan menerima balasan buruk sebagaimana baik dibalas baik jua. Agamalah yang memberi jawaban penuh isi dan membahagiakan. Manusia tidak pernah merasa sia-sia dengan apa yang disumbangkannya dalam kehidupan walaupun tidak disyukuri manusia yang lain.
Agama dengan itu adalah kepuasan hidup. Kepuasan adalah kemuncak yang manusia mahukan daripada kehidupannya. Saat matinya, seperti diungkapkan, matanya tertutup rapat merelai kematian dan selamat tinggalnya kepada kehidupan dunianya.
Itulah agama. Akhlak adalah pembalasan dan terima kasih sesama manusia. Adapun agama, ia adalah ganjaran dan terima kasih dari dalam diri sendiri kepada diri sendiri. Agama yang dimilikinya memberitahunya, terima kasih di atas kehidupanmu yang hebat!
Maksudnya, ugama adalah wujud Allah di dalam dirinya. Allahlah yang berkata, terima kasih hambaKu. Aku adalah tuhanmu yang maha bersyukur. Kemudian Allah berkata lagi di dalam diri, Aku adalah tuhanmu yang akan membalas kejahatan manusia ke atas dirimu. Aku adalah tuhan yang maha membalas.
Begitulah agama membina manusia. Ia memberi nilai dan markah kepada semua sumbangan baik manusia kepada diri dan kehidupan. Ia menolak kesia-siaan. Justeru seperti disebut pada awal tadi, agama adalah paling bernilai dalam kehidupan ini.
Apakah agama? Bagaimana pula agama dibina? Ya, ia soalan awal paling utama.
Agama adalah satu. Ia mesti daripada sang pencipta. Pencipta alam ini adalah satu. Justeru agama adalah satu kerana ia adalah jalan penghubung antara al khalik dengan al makhluk (pencipta dan ciptaannya).
Maka ia mestilah datang dari Allah. Dialah pencipta alam ini dan pemiliknya. Oleh kerana Allah tidak dapat dilihat di alam zahir ini dengan mata kasar, Dia telah mengutuskan utusanNya untuk membawa ugama kepada manusia. Para rasul adalah ramai, bertali arus diutuskan mereka dengan kehendak Allah yang serba tahu perihal dan hajat manusia pada sepanjang masa dan ketika.
Maka ugama mestilah diterima oleh manusia sebagaimana asalnya. Ia bukanlah hasil akalan manusia. Ia tidak boleh diubah suai sehingga mengganggu dan merosakkan keasliannya. Akal pula bertindak menggerakkannya agar diterima dan berperanan dalam kehidupan.
Justeru di antara kalam ulama yang menjadi kaedah besar di dalam pengajian ugama ialah kata-kata Muhammad Ibn Sirin rahimahulllah, 'Sesungguhnya ilmu ini adalah ugama. Maka hendaklah kamu melihat, daripada siapakah kamu mengambil ugama kamu itu?'
Ia adalah peringatan yang mensyaratkan dan mengisyaratkan keaslian dan kebenaran di dalam menerima dan membina ugama di dalam diri. Menokok tambah ugama dengan ilmu dan maklumat yang salah akan merosakkan ugama dan penganutnya. Ia seperti kerosakan komponen enjin di dalam sebuah kereta. Ia akan menggendalakan fungsi seluruh komponen yang lain.
Agama asasnya adalah mengenal Allah dan mengenal arahan dan laranganNya. Mengenal Allah adalah ilmu tauhid. Ia ilmu yang paling suci yang tidak boleh dicampur sebarang kesalahan yang boleh mendatangkan kesyirikan terhadapnya.
Mengenal arahan dan larangannya adalah ilmu ibadah kepadaNya. Ia juga ilmu yang tidak boleh dicampur aduk dengan arahan dan larangan daripada manusia. Jika tidak, ia juga membawa kesyirikan.
Adalah nyata hari ini bahawa umat Islam gagal menerima pakai peringatan ini. Agama mereka adalah mengikuti apa yang mereka fahami, bukan mengikut kehendak Allah melalui kaedah wahyu dan kerasulan yang diciptakannya.
Berlaku campur aduk antara ajaran wahyu yang asli dan hasil akalan manusia yang cuba mencorakkan ugama. Akhirnya sebahagian besar masyarakat mengamalkan Islam yang salah tanpa sumber yang benar dan kukuh.
Justeru adalah penting untuk setiap kita melihat kepada sumber agama dan ilmunya yang kita perolehi. Ia mesti jelas daripada al Quran dan al Sunnah. Ia mestilah daripada guru atau ulamak yang berkaliber.
Jangan diambil agama ini dari sumber yang berdasarkan kemasyhuran dan keramaian. Ia kadang-kadang menjadi punca kerosakan dalam memahami agama. Semoga kita kembali kepadaNya dengan Allah meredhai kita dan kita meredhaiNya. -NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ HARAKAHDAILY 31/1/2016
* Artikel ini adalah untuk siri kolum 'Terang Rembulan' akhbar Harakah
Bersediakah Kita Dengan Fitnah Kubur?
Menurut pandangan Ahlus Sunnah wal-Jama’ah, sebaik saja kita mati dan dikuburkan, kita akan menghadapi satu fitnah iaitu:
Fitnah Kubur
Fitnah ini tidak sama seperti fitnah yang kita faham di dunia. Kita faham fitnah di dunia ni ialah kata dusta atau tuduhan palsu yg dilemparkan kepada kita. Dalam konteks Fitnah Kubur pula, fitnah tuujian.
Maksud fitnah kubur itu juga dijelaskan sebagai pertanyaan dua Malaikat. Itu adalah ujian untuk mayat ketika dua Malaikat menanyakannya.
(Al Irsyad ila Shahihil I’tiqad, hal. 313)
Diriwayatkan daripada Ummul Mukminin, Aisyah r.a, bahawa Nabi SAW selalu berdo’a:
“Ya Allah, aku berlindung dengan kekuasaan-Mu dari azab neraka dan fitnah neraka dan dari fitnah kubur dan azab kubur”.Sahih Bukhari 6014
Al-Hafidz Ibnu Hajar r.h menyebut maksud fitnah kubur ialah soalan dua Malaikat di dalam kubur. Mubarakfuri r.a. menyebut, fitnah kubur ialah kesulitan apabila menjawab soalan dua malaikat di dalam kubur.
“Mintalah keampunan daripada Allah untuk si mati dan mintalah ketetapan (kebenaran di dalam menjawab), kerana dia sekarang sedang disoal”.Hadis Riwayat Abu Daud
Dari Abu Hurairah r.a, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda:
“Jika salah seorang dari kalian dikuburkan, maka akan datang kepadanya dua malaikat yang hitam dan kedua mata mereka biru. Salah satunya bernama Munkar dan yang lainnya bernama Nakiir.
Keduanya bertanya: Apakah pendapatmu mengenai lelaki ini? Lalu dia menjawab sebagaimana yang pernah dikatakan dahulu:
Dia adalah hamba Allah dan rasul-Nya. Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Muhammad adalah hamba-Nya dan rasul-Nya.
Keduanya berkata: Kami sudah mengetahui bahawa kamu akan mengucapkan demikian. Kemudian kuburnya dilapangkan seluas tujuh puluh hasta dikali tujuh puluh hasta. Lalu diterangi dan dikatakan kepadanya : ‘Tidurlah’.
Dia berkata: Biarkanlah aku kembali kepada keluargaku untuk mengabarkan kepada mereka.
Keduanya berkata: Tidurlah seperti pengantin yang tidak dibangunkan kecuali oleh orang yang paling dia cintai. Hingga Allah membangkitkannya dari tempat tidurnya.
Adapun seorang munafik berkata: Aku hanya mendengar orang-orang mengatakanya lalu aku ikut mengatakannya. Aku tidak tahu.
Keduanya berkata: Kami sudah tahu kamu akan mengatakan demikian. Lalu dikatakan kepada bumi: Himpitlah dia! Lantas bumi menghimpitnya hingga seluruh sendinya hancur.
Dan dia terus diazab di dalamnya hingga Allah membangkitkan dari tempat tidurnya”
Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi no. 1071; dihasankan oleh Al-Albaaniy dalam Shahih Sunan At-Tirmidzi 1/544
Orang yang meninggal pada Hari Jumaat, insyaallah akan selamat dari fitnah (bencana/seksa) kubur.
Daripada Abdullah bin Amr, sabda Rasulullah SAW:
“Tidak seorang Muslim yang mati pada hari Jumaat atau pun malam Jumaat, melainkan diselamatkan Allah SWT daripada fitnah kubur.”Hadis Riwayat al-Tirmidzi
Fitnah (pertanyaan) kubur itu berlaku terhadap ruh dan jasad manusia baik orang mukmin mahu pun kafir. Dalam sebuah hadis sahih disebutkan Rasulullah SAW selalu berlindung kepada Allah SWT dari siksa kubur.
Nabi S.A.W. mengajar kita agar sentiasa berdo’a dan mohon perlindungan Allah SWT ketika habis membaca tahiyyat akhir kepada empat perkara. Sebagaimana sabdanya yang bermaksud:
“Bila seseorang selesai membaca tasyahhud (akhir), hendaklah ia memohon perlindungan kepada Allah empat perkara, iaitu:
Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari siksa Neraka Jahannam, dari siksa kubur, dari fitnah hidup dan mati, dan dari fitnah al-Masih Dajjal’.
(Selanjutnya, hendaklah ia berdoa memohon kebaikan untuk dirinya sesuai kepentingannya)”.Hadis Riwayat Muslim, Abu ‘Awanah, Nasa’i dan Ibnu Jarud dalam al-Muntaqa
Ada sesetengah ulama’ menerangkan yg do’a ini hendaklah dibaca di dalam hati ketika sujud terakhir sebelum membaca Tahiyyat Akhir di dalam Solat.
Syaikh Muhammad bin Shalih Al ‘Utsaimin berkata:
“Azab kubur atau nikmatnya adalah haq yang telah tetap berdasarkan zahir Al Qur’an dan secara jelas di dalam As Sunnah dan ijma’ ahlus sunnah”Syarh Lum’atul I’tiqad, hal. 65
Imam Abu Ja’far Ath Thahawy r.a. berkata:
“Kami (ahlus sunnah) beriman kepada malaikat maut yang ditugaskan untuk mencabut ruh makhluk di alam, beriman kepada azab kubur bagi yang berhak mendapatkannya, beriman kepada pertanyaan Munkar dan Nakiir di dalam kubur tentang siapa Tuhannya, apa agamanya, siapa Nabinya, dan kami beriman kepada berita yang datang dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam dan dari sahabat ridhwanullahi ‘alaihim.
Kubur adalah taman dari taman-taman syurga atau jurang dari jurang-jurang neraka.”Al ‘Aqidah Ath Thahawiyah dalam Kitab Mutunut Tauhid wal ‘Aqidah, hal. 268
Menurut pandangan ulama’, ada 4 golongan yg akan terkecuali daripada fitnah Kubur, iaitu:
1) Para Nabi dan Rasul
2) Para Syuhada
3) Mereka yg mati pada malam Jumaat/hari Jumaat
4) Kanak-kanak yg belum baligh
Jadi sekarang kita dah faham, fitnah kubur itu adalah soalan kubur oleh dua Malaikat utusan Allah di dalam kubur di mana jika mayat itu gagal menjawab soalan-soalan yg ditanyakan oleh Malaikat tersebut nanti, maka mayat itu akan dipalu dengan besi sehingga terperosok 70 hasta ke dalam bumi.
Hanya amal ibadat yg akan menjawab semua soalan itu. Semoga kita dapat melepasi ujian Fitnah Kubur kita nanti.