Mati Suatu Peringatan yang Berharga

Print

Oleh: Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
 

RASULULLAH s.a.w. mengakui bahawa umat manusia mempunyai banyak kelemahan, antara kelemahan yang paling ketara ialah tidak sepi dari sifat lalai dan lupa. Justeru itu insan amat memerlukan bimbingan dan peringatan, kerananyalah Allah Taala telah mengutuskan para rasul a.s. bagi menerima wahyu, kerana wahyu itulah yang diperlukan oleh manusia sebagai petunjuk dan peringatan bagi membantu mengatasi kelemahan sifat manusia seperti yang disebut di atas.Firman Allah Taala:

وَذَكِّرۡ فَإِنَّ ٱلذِّكۡرَىٰ تَنفَعُ ٱلۡمُؤۡمِنِين

Yang bermaksud:
'Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman. "
(Surat Adz-Dzariat ayat 55).Lantaran para rasul itu sebagai penerima wahyu yang mengandungi petunjuk dan peringatan, maka manusia perlu mendampinginya dan beriman dengannya, kerana petunjuk dan juga peringatan dari wahyu Allah itu hanya akan berguna kepada mereka yang beriman sahaja, sebagaimana yang dijelaskan oleh ayat 55 surah adz-Dzariyat itu.Petunjuk dan peringatan wahyu Allah SWT itu laksana air yang akan menyuburkan tanaman, air akan mendatangkan faedah hanya kepada tanah yang subur, jika air disiram ke alas batu pejal pasti tidak mendatangkan sebarang kesan. Demikian juga petunjuk dan peringatan Allah SWT, ia hanya akan berguna apabila segala nasihat clan peringatan itu jatuh kelembah hati yang lembut. Hati yang keras sama dengan batu pejal yang tidak mungkin diresapi air, oleh itu hati yang keras tidak mungkin dapat manfaat dari petunjuk dan peringatan wahyu itu.Batu pejal terlalu keras tetapi hati yang keras ada kalanya lebih keras dari batu yang pejal. Batu yang keras lama-kelamaan akan lekuk jika dititis air terus menerus, tetapi hati yang keras kadangkala tidak mendapat manfaat dari kehadiran para rasul a.s., sekalipun rasul itu didatangkan dari kaum keluarganya sendiri sebagaimana Fir'aun tiaak mendapat faedah dari kenabian Musa as. walaupun Nabi Allah itu dibesarkan di dalam istana Fir'aun sendiri. Begitu juga Abu Jahal walaupun Nabi Muhammad dari kaum kerabatnya sendiri namun hati Abu Jahal tetap berkeras dan menolak wahyu Allah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w..Hati memainkan peranan penting dalam menentukan keperibadian seseorang sama ada ia akan menjadi insan yang baik dan berguna atau sebaliknya. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesungguhnya di dalam diri seseorang itu ada seketul darah, jika baik ia maka baiklah seluruh anggota, dan jika rosak ia maka rosaklah seluruh anggota. Ketahuilah bahawa ia adalah hati."Hati manusia telah diciptakan oleh Allah Taala mempunyai keupayaan untuk memiliki sifat-sifat yang baik iaitu sifat 'mahmudah', seperti sifat lemah-lembut, sabar, insaf, simpati, pemurah, penyayang, belas kasihan dan seumpamanya. Bagaimanapun ia perlu diasuh dengan bersungguh-sungguh untuk menyuburkan dan merawat sifat-sifat mahmudah itu, kerana hati manusia itu sering menjadi sasaran makhluk jahat iaitu iblis. jika dibiarkan makhluk jahat itu menguasai hati, pasti hati akan rosak binasa, jika hati sudah rosak maka rosaklah seluruh anggota sebagaimana sabda Rasulullah itu.Hati boleh dipimpin dan disedarkan hanya dengan ilmu yang berteraskan wahyu, kerana hanya ilmu tersebut sahaja yang bersumberkan tauhid iman dan aqidah. Tanpa wahyu Allah Taala pasti manusia tidak akan mengetahui hal-hal yang abstrak iaitu perkara-perkara ghaib, seperti rahsia disebalik kematian, alam barzah dan juga hari kiamat.Ilmu pengetahuan mengenai perkara yang menyingkap hal ehwal kematian, perkara-perkara yang berhubung alam barzakh suatu kehidupan selepas mati, seterusnya peristiwa mahsyar dan alam akhirat seperti yang telah dibahaskan di dalam buku tazkirah yang berjodol 'Air Mata Di Mahsyar' yang telah diterbitkan itu, merupakan perkara utama yang boleh menyedarkan dan melembutkan hati insan.Setiap muslim yang sentiasa mendalami wahyu Allah Taala pasti mempunyai keyakinan bahawa setiap insan pasti menghadapi saat kematiannya, mereka tidak ragu bahawa setiap insan akan dihidupkan dan dibangkitkan semula, mereka akan menghadapi suatu rangkaian hidup yang abadi. Bermula dengan datangnya ajal dan diikuti babak peristiwa alam barzah, iaitu suatu kehidupan di alam kubur yang penuh dengan berbagai pancaroba, hingga menemui hari kebangkitan di Mahsyar dan alam akhirat, bagi menentukan kesudahan hidup seseorang sama ada akan menjadi ahli syurga atau neraka.Peristiwa di alam barzah bagi orang-orang yang beriman dan berbekalkan amal yang soleh dan ketaqwaan yang unggul, akan merasai suatu kerehatan yang damai, sementara menunggu datangnya hari kebangkitan. Tetapi bagi manusia yang ingkar yang sarat dengan beban dosa, maka alam barzah itu merupakan episod ngeri yang dipenuhi azab sengsara, menjelang suatu kesengsaraan dan azab yang lebih besar akan dirasai ketika di mahsyar kelak.Oleh kerana iktiqad orang yang beriman meyakini adanya kehidupan selepas mati itu, maka tidak dapat tiada manusia mesti mengetahui hal-hal yang berkait dengannya. Rasulullah telah memberitahu melalui mutiara sabdanya mengenai alam barzah dan alam akhirat, yang semua itu mesti difahami dan diambil pengertian secara bersungguh-sungguh. Apabila tiba saatnya melalui alam tersebut maka tidaklah terlalu terkejut dan terpinga-pinga seperti seorang yang terjebak dalam mimpi ngeri.Terutama di akhir zaman ini semakin kurang atau amat sedikit dari kalangan manusia yang bercakap tentang kematian, alam barzah dan seterusnya hari mahsyar. Kerana manusia sedang membangun dunianya, kebanyakan mereka dilalaikan oleh kesenangan, keindahan dan kelazatan dunia yang sementara. Sesungguhnya mereka yang memburu kesenangan duniawi ini bagaikan memburu bayang yang bergerak, sehingga kehabisan umur dan kematian pun tiba. Akhirnya mereka terkejut besar apabila Malaikat maut datang dengan mengejut mencabut nyawanya, kerana tiada sebarang persiapan atau bekalan untuk menghadapi suatu perjalanan yang jauh.Saiyidina Ali r.a. pernah berkata: "Bahawa manusia itu tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga dari tidurnya." Demikianlah orang yang tidak mengingati mati itu sentiasa dalam lalai atau bagaikan orang yang tertidur Iena, dia akan terkejut ketika kematian tiba secara mendadak.Berbeza dengan orang yang hatinya sentiasa mengingati mati atau tazkiratul maut, maka kematian itu bagi mereka ibarat sebuah jambatan untuk menuju kepada suatu pertemuan dengan Allah SWT yang sering disebut dan diingatinya. Sebagaimana kesah Nabi Ibrahim Khalilullah yang didatangi oleh malaikat maut."Apakah anda hendak mengambil nyawaku?" tanya Nabi Ibrahim kepada Izrael,
"Benar," jawab malaikat maut.
"Tidakkah anda tahu bahawa aku adalah Khalilullah (kekasih Allah), yang selalu di dampingi dan mendampingi-Nya? Adakah munasabah seorang kekasih hendak mengambil nyawa kekasihnya?"Dengan kata-kata Nabi Ibrahim a.s. itu maka malaikat maut kembali semula mengadap Allah SWT, lalu Allah perintah Izrael supaya menemui Nabi Ibrahim dengan membawa pesanan dari Allah. Malaikat mautpun berkata kepada Nabi Ibrahim:
"Justeru dengan kematian itu bererti Allah Yang Maha Pengasih telah menjemput kekasih-Nya agar datang menemui-Nya." Dengan penjelasan malaikat maut itu maka nabi Ibrahim a.s. amat gembira menghadapi kematian itu.Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: "Hendaklah kamu membanyakkan ingat akan perkara yang boleh meleburkan kelazatan hidup," bertanya Abu Hurairah: "Apakah yang boleh meleburkan kelazatan hidup itu?" jawab Rasulullah "Az-Zikrul maut" iaitu mengingati akan mati.Kelazatan dunia merupakan penyumbang terbesar terhadap sifat lalai manusia, lalai dalam solat juga berpunca dari kelazatan dunia, dan manusia yang sedang diuliti oleh kesenangan dan kelazatan dunia pasti tidak kepingin didatangi maut, kerana baginya maut adalah noktah kepada kesenangan yang sedang dikecapi di dunia ini.Kematian menyebabkan dia rugi besar, segala kekayaan dan pangkat kebesaran akan berakhir secara mendadak, isteri atau suami disayangi terpaksa ditinggalkan, kemewahan yang melazatkan hidup akan berpindah milik kepada para waris, orang akan bersenang lenang mendapat harta pusaka tetapi dia kesepian di dalam kubur. Lantaran itu dia tidak ingin mati malah sesetengahnya ada yang benci akan kematian.Sesungguhnya mencintai kelazatan dunia itu boleh menyebabkan manusia tidak ingat akan kematian, padahal kematian itu pasti datang sama ada dia ingat atau lupa kepadanya, sama ada dia benci atau suka kepada mati. Justeru kematian adalah suatu permulaan kepada kehidupan yang sebenar, iaitu hidup yang tidak akan disudahi dengan kematian.Oleh kerana kehidupan selepas mati ibarat suatu perjalanan yang jauh yang memakan masa lama. Menyedari hakikat itu pasti insan memerlukan suatu persiapan yang mencukupi dan sempurna, orang yang lalai tidak pernah memikirkan persiapan menghadapi mati. Bayangkan jika secara tiba-tiba seseorang itu terlantar di padang pasir yang tandus, bila dahaga telah mencekik kerongkongnya lantas diapun terbayang mustahaknya air, tetapi baru dia sedar bahawa sedikitpun dia tidak mempunyai bekalan air itu.Orang sering bercakap tentang rakan atau sahabat mereka yang telah kembali menyahut seruan Ilahi, sipulan telah mati dan sianu sudah mati, tetapi sayangnya jarang sekali dia memikirkan bilakah kematian itu akan sampai kepada giliran dirinya. Sebelum mati itu datang, apakah persiapan yang telah dibuat?Justeru mati itu adalah suatu peringatan yang berguna kepada manusia.