Kelantan lahir lebih 3,500 hafiz


KOTA BHARU: Sejak ditubuh pada 1992 sehingga sekarang institusi tahfiz di Kelantan berjaya melahirkan lebih 3,500 penghafal al Quran.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, tahfiz tersebut sembilan daripadanya diurus Yayasan Islam Kelantan (Yik) yang mempunyai lebih 2,500 pelajar.

“Sebahagian mereka sekarang ada memiliki ijazah sarjana dan PhD serta berkhidmat dengan kerajaan negeri, persekutuan dan sebagai wakil rakyat,” katanya ketika merasmikan Seminar Hala Tuju Pengajian Tahfiz Peringkat Kebangsaan 2019 di Dewan Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra sini semalam.

Turut hadir Ketua Eksekutif Kolej Islam Sultan Ismail Petra (Kias) Prof Dr Abdul Aziz Mohd Zin, Ahli Parlimen Pasir Mas Ustaz Ahmad Fadhli Shaari; Pengetua Maahad Tahfiz al Quran Maik, Ustaz Mohd Sukeri Mohd Nor dan Ketua Jabatan al Quran dan Hadis, Ustaz Wan Ismail Abdul Halim.

Tujuh kertas kerja dibentangkan pada majlis yang dianjurkan Kias dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik). - HARAKAHDAILY 19/2/2019