Kelantan teliti semula kenaikan caj hartanah

Print Email


KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan meneliti semula kadar bayaran urusan hartanah di Pejabat Tanah yang dikatakan begitu tinggi berkuatkuasa semalam.

Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, secara umumnya kerajaan negeri sedar kenaikan caj dikenakan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) termasuk bayaran premium tanah.

Malah, katanya kenaikan itu sebenarnya sudah tertangguh sejak hampir 30 tahun lalu.

Bagaimanapun kata beliau kadar baharu diperkenalkan bermula semalam menimbulkan rasa tidak puas hati orang ramai.

“Kerajaan mengakui terdapat kenaikan kadar bayaran yang agak tinggi dalam beberapa urusan tertentu.

"Namun apabila ada rungutan dan aduan rakyat, kita kena tengok dan teliti semula. Itu kaedah yang kita amalkan,” ujarnya kepada media selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim hari ini.

Semalam tular di media sosial salinan pekeliling Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang 7 November 2018 bersetuju melulus kadar baru bayaran urusan di Pejabat Tanah yang berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Difahamkan kenaikan kadar bayaran beberapa urusan hartanah meningkat sehingga 500 peratus. - HARAKAHDAILY 2/1/2019

please publish modules in offcanvas module position