‘Madinah Ramadan’ warnai puasa di T'ganu

Print

 

KUALA TERENGGANU: Program ‘Madinah Ramadan’ akan mewarnai malam-malam bulan puasa di bandar raya ini bermula pada 1 Jun hingga akhir bulan mubarak itu.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, ia adalah bagi mengingati kefarduan puasa secara khususnya dihayati oleh Nabi Muhammad S.A.W di bandar Madinah.
 
“Madinah al-Munawarah melahirkan masyarakat yang bersatu, hidup dengan ilmu, yang hidup dengan ibadah. 
 
"Di atas pengasasan Madinah ini, kita cuba menghayati apa yang telah dilakukan oleh Nabi S.A.W, kita mengadakan program ‘Madinah Ramadan’ di dataran Shahbandar,” jelasnya.
 
Beliau berkata demikian ketika ditemui melawat tapak program tersebut, di sini semalam.
 
Antara acara yang diatur selama 12 hari itu ialah berbuka puasa bersama, solat Maghrib dan Isyak berjamaah, serta solat Tarawikh oleh imam dari luar negara. 
 
“Selain itu, ada pengisian lain termasuk tazkirah, bicara ilmu, fiqh wanita, santai bersama Mat Motor, ceramah Badr al-Kubra dan Nuzul Quran,” ujarnya.
 
Menurut beliau, antara penceramah terkemuka yang dijemput ialah, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Ustaz Nasaruddin Daud dan Ahli Palimen Kubang Kerian, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.
 
Perasmian ‘Madinah Ramadan’ itu terangnya, akan disempurnakan sendiri oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Jumaat, 8 Jun. 
 
“Disamping perasmian itu, Menteri Besar juga bersedia untuk menyampaikan sumbangan kepada fakir miskin terpilih dari kawasan-kawasan,” kata beliau.
 
Program tersebut juga tambahnya, memberi ‘wadah’ kemudahan kepada para pengunjung dan peniaga Bazar Ramadan.
 
Oleh itu, beliau menyeru kepada seluruh rakyat Terengganu dan juga Malaysia supaya hadir beramai-ramai mengunjungi ‘Madinah Ramadan’. 
 
“Termasuk para pelancong dari luar Teregganu yang datang pada bulan Ramadan ini mereka jangan bimbang untuk berbuka puasa.
 
“Mereka boleh berbuka di sini dan in-shaa-Allah kita sediakan makanan dan mereka boleh beribadat bersama imam yang kita sediakan,” tuturnya. -HARAKAHDAILY 25/5/2018