Kelantan rancang bina empangan bawah tanah

Print

KERAJAAN Kelantan melalui Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) merancang membina sebuah empangan air bawah tanah yang melibatkan kawasan 500 km persegi menggunakan kaedah pembentengan sungai.

Pengurus Besar AKSB, Ir Wan Mohd Zamri Wan Ismail berkata, projek berskala besar itu kini dalam proses kajian yang dijangka siap dalam tempoh enam bulan lagi.

"Insya-Allah dengan kos yang besar, kami menaruh harapan agar kerajaan persekutuan dapat membantu AKSB merealisasikan pembinaan empangan ini," katanya.

Beliau menjelaskan demikian ketika membuat persembahan taklimat kepada Pemangku Raja Kelantan sempena lawatan teknikal ke Empangan Bawah Tanah di Pulau Miyakojima, di Tokyo hari ini.

Bagaimanapun lawatan ke pusat tersebut dibatal disebabkan ribut taufan di kawasan berkenaan.

Hadir sama pada lawatan itu ahli-ahli Lembaga Pengarah AKSB yang diketuai Datuk Hanifa Ahmad.

Taklimat mengenai kajian sumber air tanah dan kewajaran pembinaan empangan bawah tanah disampaikan Setiausaha Agung Majlis Forum Air Jepun, Dr Kotaro Takemura.

Hanifa yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata taklimat tersebut diadakan susulan persembahan taklimat kepada Pemangku Raja di Singapura pada Mei tahun lepas. – HARAKAHDAILY 15/9/2017